Ahli Psychologist ???


Pengalaman semasa praktikal di Wad D (kategori agresif) Psikiatri di salah satu Pusat Psikiatri di Kelantan betul-betul membuka satu minda dan persepsi saya terhadap sistem pendidikan hidup kita sebagai manusia. Bagaimana kita di atur oleh ibubapa, di didik, di ajar, di bimbing, di bantu dan pelbagai lagi di dan di dan di seterusnya. Hidup kita mungkin dipengaruhi oleh persekitaran. Tetapi Allah jualah yang menentukan sama ada ianya terjadi mahupun tidak. Sekalipun kita berusaha sehabisnya, tapi kalau Allah tidak izinkan dan bukan seperti dalam takdir hidup kita, usaha itu tetap tidak akan menjadi. Kalau terjadi pun tentu ianya ISTIDRAJ (beri dengan kemurkaan).

Saya berjaya di didik dan di besarkan oleh ibubapa dan akhirnya menjadi apa yang saya inginkan, iaitu menjadi seorang pekerja dalam bidang perubatan. Sekalipun ianya bukanlah di tahap yang tinggi tapi saya sudah amat berpuas hati. Saya akui, saya di besarkan dalam suasana yang penuh didikan agama, walaupun kadang-kadang ibubapa sentiasa membantah keinginan nafsu dalam hati, tapi setelah berfikir dan mendalami maksud di setiap marah dan bebelan mereka, saya redha dan tunduk kerana Allah sentiasa menjanjikan yang terbaik untuk saya. Mungkin kerana saya dulu seorang yang seperti sehelai baju yang dilipat cantik kemas tapi di dalamnya terselit helaian kain asing yang kotor, tapi kerana Allah selalu membantu dan sering  berada di sisi saya Alhamdulillah, saya amat mengerti kalau bukan kerana apa yang terjadi saya tidak akan sedar sampai sekarang.

Apa yang dikongsikan oleh pesakit-pesakit yang berada dalam wad tersebut membuatkan saya faham bahawa hati yang tidak dibimbing dan dibantu untuk berkembang dengan baik boleh menyebabkan hati dan sikap terpesong pada perkara yang tidak baik. Mungkin pendapat saya telah bercanggah dengan pendapat para psychologist di dunia, tapi apa yang berlaku membuahkan idea pemikiran dan pendapat bahawa hati dan keinginan setiap insan perlu di beri pandangan terutamanya anak-anak yang baru hendak berkembang minda dan emosi. Kalau kita salah dalam memberi didikan tidak kira semasa menyampaikan, bentuk penyampaian dan sebagainya,  sebalik semua itu akan memberi kesan kepada anak-anak bukan sahaja ketika usia remaja bahkan semasa dewasanya. Saya amat tidak bersetuju apabila pendapat anak-anak di tolak mentah-mentah, (ya mungkin tidak mentah-mentah tapi memberi kesan dalam pada hati anak-anak) hanya kerana percaturan hidup untuk anaknya. Jika anak-anak ingin menjadi seorang doktor, mengapa hantar sekolah undang-undang? Jika sudah ketahui anak-anak tidak tidak boleh menguasai sepenuhnya Bahasa Arab kenapa memaksa minda dan emosinya untuk teruskan? Bukankah dalam hidup ini kita ada pelbagai cara untuk mengatasi? Allah pun ada berkata, Setiap masalah ada penyelesaian kecuali ‘mati’. Kalau hati dan minda dia sudah mati, apakah ada penyelesaian lagi? Menyesal tidak berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur.

Kita telah didedahkan dengan kisah-kisah mengenai kehidupan anak-anak yang memberontak dengan ibubapa mereka. Anak-anak masih kecil, apakah ibubapa harus terus menujah jari kepada anak-anak agar menjadi begitu begini sedangkan kehendak anak-anak tidak dipandang? Oh mereka itu perlu di bantu, di didik dan di bimbing  dengan cara yang betul. Mereka itu masih tidak memahami kenapa perlu jadi begitu atau begini. Apabila anak-anak sudah membesar sedikit dan sudah boleh memahami, oh ibuku, oh ayahku, mereka penat bekerja dan sudah tentu masalah aku ini akan merungsingkan mereka, mereka boleh berkurung dalam bilik dan hanya diam memendam rasa dan emosi yang semakin hari semakin panas bahangnya. Kalau pun kawan-kawan dan para ustaz telah membantu mengharumkan balik bunga yang telah lama gersang di taman, tapi kalau baja tidak diberikan dengan betul, apakah ia akan menjadi bunga yang indah kelak? Ya, mungkin kita lihat anak-anak yang kita telah catur hidupnya berjaya menjadi apa yang di inginkan, tapi ingat, sekiranya terjadi perkara yang anda tidak sukai, jangan menyesal dan ketahuilah itu tanda-tanda istidraj. Berdoalah dan pohonlah agar diberi petunjuk untuk selesaikannya.

Saya bukan hendak menakut-nakutkan sesiapa, tapi saya hanyalah mengeluarkan pemikiran dan pendapat saya. Apabila saya ketahui kisah sebegini, hati saya amat terkilan. Oh ibu, oh ayah, mengertilah anak-anakmu. Fahamilah anak-anakmu. Mereka inilah yang akan menjadi tempat pergantungan di masa hari tuamu. Merekalah penerang cahaya kegelapan di kala kamu sudah tiada di dunia lagi. Ya Allah, bimbinglah kami dalam setiap perbuatan kami !

Kepada mereka yang sekarang menghadapi situasi ingin memberontak, redakanlah. Ingat, ibubapa bukan tidak sayangkanmu, bahkan mereka amat menyayangimu. Mereka belum ketahui apa yang tersimpan di jauh sudut hatimu. Mereka belum mendapat ilham untuk membantumu. Mereka sedang berusaha untukmu.  Sabar dan berdoalah agar Allah membuka pintu itu. Oh ibu, Oh ayah, carilah masa yang sesuai untuk bercerita dengan anak-anak. Biarkan anak-anak yang menjadi pencerita, dan kamu hanya pendengar. Anak-anak yang masih kecil bantulah mereka. 

p/s : sekadar memuntahkan rasa hati dan buah fikiran (haihh, tiba-tiba jak nih)


1 comment:

Aku bukanlah yang sempurna
Terima Kasih